Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Kerajaan digesa mewakafkan tanah-tanah yang diberikan kepada UDA Holdings Bhd bagi memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh syarikat milik kerajaan itu dimanfaatkan umat Islam dan kaum Bumiputera di Pulau Pinang.

Gesaan itu dibuat Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) susulan dakwaan UDA dilihat semakin tergelincir daripada matlamat utama penubuhannya.

Presiden Pemenang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, tindakan mewakafkan tanah merupakan penyelesaian terbaik buat orang Islam di negeri ini.

Kata beliau, UDA kini dilihat lebih mementingkan keuntungan berbanding menjalankan tanggungjawab utamanya bagi membantu golongan Bumiputera memiliki hartanah dalam kawasan bandar.

Beliau merangkap Presiden Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) berkata, UDA sepatutnya memajukan penempatan orang Melayu di Tanjong Tokong namun mereka gagal sehinggakan kawasan tersebut menjadi sebuah kampung yang daif dan tidak tersusun.

“Kita boleh lihat kegagalan UDA memainkan matlamat penubuhannya dalam dua projek pembangunan mega di negeri ini iaitu projek Pembangunan Semula Tanjong Tokong dan projek pelancongan di Pulau Jerejak.

“Selain itu, pindah milik projek pembangunan semula Kampung Tanjong Tokong membabitkan tanah seluas 48 ekar yang diserahkan Kerajaan Perikatan Pulau Pinang pada tahun 60an bernilai RM1 serta penganugerahan hak tebus guna tanah persisiran pantai seluas 52 ekar oleh kerajaan negeri telah menjadikan penghuni setinggan di kaca mata UDA selaku pemaju.

“Lebih mengecewakan projek-projek pembangunan kondominium pencakar langit di persisiran pantai atas tanah reklamasi UDA kini dimiliki 100 peratus oleh kaum bukan Bumiputera,” katanya pada sidang media di pejabat Pemenang di sini, hari ini.

Tambah Mohd Yussof, syarikat gergasi bukan Bumiputera dikatakan terlibat dalam pembangunan Tanjong Tokong manakala syarikat Bumiputera diabaikan.

“Malah, ada pihak mendakwa kononya syarikat-syarikat ‘mesra kerajaan negeri’ diberi peluang menjalankan projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Perkembangan ini dilihat tidak sihat dalam membangunkan satu masyarakat majmuk membabitkan soal sosial, ekonomi serta budaya,” ujar beliau.

Mengulas lanjut Mohd Yussof berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu mewakafkan tanah yang diberikan kepada UDA di negeri ini.

“Kita pernah kemukakan isu ini kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri kali kedua, namun tiada respon.

“Sehubungan itu, kita akan hantar satu memorandum dalam minggu ini kepada Perdana Menteri agar satu keputusan dapat dibuat berkaitan isu ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette