Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri bersesi gambar bersama penerima bantuan pada Program Bantuan Kewangan kepada Pengiat Industri Pelancongan di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM85 juta bantuan khas akan diperuntukkan kepada lebih 25,000 pengusaha pelancongan berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan berkenaan merupakan peningkatan hampir 40 peratus berbanding peruntukan yang diluluskan pada tahun ini.

“Dalam Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 Billion kepada sektor pelancongan iaitu peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun lalu.

“Apa yang menggembirakan kita adalah di bawah Bajet 2022, sebanyak RM85 juta bantuan khas diperuntukkan kepada lebih 25,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC.

“Justeru, inisiatif bantuan ini masih akan diteruskan lagi pada tahun hadapan sebaik sahaja peruntukan disalurkan kepada MOTAC yang dijangka pada awal bulan Januari 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kepada Penggiat Industri Pelancongan di Hotel Intercontinental malam ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri bercakap pada Program Bantuan Kewangan kepada Pengiat Industri Pelancongan di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 NOVEMBER 2021.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penerima yang terdiri daripada pemandu pelancong, syarikat pengendalian pelancongan, pengusaha spa dan pusat urutan kaki serta syarikat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) menerima bantuan khas kewangan.

Nancy berkata, sejak tercetusnya pandemik Covid-19, sebanyak tujuh insentif bantuan kewangan berjumlah RM61 juta telah pun disalurkan dan berjaya memanfaatkan seramai 29,286 penggiat industri.

“MOTAC juga melaksanakan beberapa inisiatif bukan kewangan kepada syarikat dan pemandu pelancong berlesen.

“Diharap inisiatif bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban dan seterusnya mampu membantu kelancaran apa jua urusan penggiat industri dalam pengoperasian semula terutamanya sebelum pembukaan sempadan antarabangsa kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, pelaksanaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa yang telah bermula pada 15 November lalu merupakan penanda aras untuk pembukaan sempadan negara dalam masa tiga bulan akan datang.

“Secara amnya, pelancongan norma baharu untuk ke mana sahaja destinasi antarabangsa ketika ini berdepan dengan cabaran baharu.

“Namun sebagai barisan hadapan dalam industri ini, kita mesti memastikan aspek keselamatan dan kesihatan diutamakan selain memastikan operasi perniagaan berjalan lancar dengan mengambil kira kemudahan yang berkualiti supaya pelancong yang datang akan kembali lagi ke negara ini,” katanya.

Nancy juga yakin industri pelancongan di negara ini akan kembali gemilang dengan perkembangan terbaru MyCEB iaitu salah sebuah agensi di bawah MOTAC yang berjaya mendapatkan 21 acara perniagaan antarabangsa untuk diadakan di negara ini mulai tahun hadapan sehingga 2030.

Jelas beliau, segmen tersebut dijangka akan menerima penyertaan seramai 23,000 delegasi dengan sasaran pendapatan sebanyak RM372 juta. – MalaysiaGazette