KUALA LUMPUR – Semua 68 laporan polis tentang jenayah samun dan ragut membabitkan kehilangan MyKad yang diterima oleh Polis Daerah Sentul sejak 1 Januari hingga 21 November lalu adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, laporan palsu itu dibuat oleh individu bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara kerana kecuaian kehilangan MyKad.
“Siasatan lanjut polis mendapati kebanyakan individu yang membuat laporan palsu itu menyatakan mereka telah diragut atau menjadi mangsa samun.
“Kesahihan setiap laporan polis itu diketahui selepas pegawai polis kami melakukan siasatan lanjut dan apa yang mengejutkan kesemua laporan polis itu hanya rekaan semata-mata atas kecuaian sendiri menghilangkan MyKad,” katanya dalam sidang media kejayaan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius terhadap perkara berkenaan kerana individu tidak bertanggungjawab sengaja membazir masa dan tenaga polis serta wang kerajaan semata-mata untuk menyiasat kes yang tidak wujud.
Menurutnya, berdasarkan jumlah laporan polis palsu yang diterima pada tahun ini, pihaknya membuka 68 kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan itu.
“Sebanyak 58 kes daripadanya telah selesai disiasat dan sudah diheret ke mahkamah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.
“Kita menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga keamanan serta tindakan tegas akan menyusul ke atas mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.- MalaysiaGazette