KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta bertindak lebih pantas dalam menangani isu sekuriti makanan untuk mengelakkan kenaikan harga bahan mentah yang lebih drastik, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
”Tak cukup lagi dengan kesengsaraan rakyat yang telah dihadapi dalam era Covid, sekarang ditambah pula dengan beban harga bahan mentah harian.
”Jangan sampai rakyat sendiri lapar akibat tidak mampu membeli bahan mentah negara sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah hanyalah permulaan kepada isu sekuriti makanan yang lebih besar.
Ahli Parlimen Muar itu menambah, bukanlah satu perkara yang mengejutkan saban tahun akan meningkat terutamanya apabila ekonomi dalam proses pemulihan dan permintaan makin meningkat.
Tetapi yang mengejutkan adalah harga sayur ada yang meningkat sampai 200% ganda dan harga ayam pula dalam masa dua bulan ada yang meningkat sehingga RM9.80 sekilo daripada RM7.50 sekilo.
Dalam konteks ini, kenaikkan barang mentah adalah disebabkan dengan harga barangan impot yang kian meningkat seperti baja impot untuk sayur dan dedak impot bagi ayam.
”Ini adalah sebahagian dari faktor bahawa Malaysia sedang mengalami isu sekuriti makanan. BNM telah mengeluarkan laporan Q3 baru-baru ini dan satu aspek yang ditekankan adalah isu sekuriti makanan yang sedang dihadapi Malaysia.
”Malaysia berada di tangga ke 39 manakala Singapura berada di tangga 15 dalam global food security index (indeks keselamatan makanan) walaupun negara mereka adalah sangat kecil berbanding Malaysia,” ujar beliau.
Dalam usaha menstabilkan harga pengeluaran bahan mentah, katanya, kerajaan perlu memastikan tenaga buruh mencukupi.
”Seperti yang anda tahu bahawa baru-baru ini kerajaan dah buat U-turn, dulu tak benarkan pekerja asing untuk bekerja, sekarang terkejar-kejar nak benarkan 32,000 pekerja asing berkerja di ladang. Kalau pekerja tidak cukup, pengeluaran bahan mentah adalah kurang untuk mengisi permintaan yang kian meningkat.
”Kebergantungan kepada tenaga buruh juga boleh dielakkan dengan perbanyakkan inovasi agri-tech untuk pengeluaran tempatan. Sebagai contoh, Singapura mempunyai banyak inovasi agri-tech yang terkini untuk menampung sekuriti makanan seperti urban farming dan ladang ikan berinovasi tinggi. Ini sedikit sebanyak adalah penting kerana seluruh dunia sedang menghadapi perubahan iklim yang tak boleh dielakkan untuk memastikan pengeluran menjadi lebih efektif dan dapat dipantau dengan lebih baik.
”Perbanyakkan insentif untuk tanah-tanah yang kurang digunakan dan juga pengeluaran baja dan dedak tempatan. Dengan ini pengeluaran tempatan boleh dipelbagaikan dan diperbanyakkan. Dengan penghasilan dedak dan baja tempatan juga, harga pengeluaran juga boleh distabilkan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, Cukai Durian Runtuh sepatutnya dilaksanakan lebih awal kerana boleh menolong dalam menstabilkan harga bahan mentah dengan pemberian subsidi bagi pengeluaran tempatan.
Walau bagaimanapun, Cukai Makmur hanya akan dilaksanakan pada tahun 2022. – MalaysiaGazette
dah tak jadi kerajaan pandai betul dick ni berkata kata ya..