GEORGE TOWN – Sebuah kilang roti di Jalan Kedah, di sini, diarahkan tutup susulan penemuan najis tikus serta gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).
Ops Bersih yang dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bermula jam 9.30 pagi turut membawa kepada pendedahan pengusaha kilang roti yang sudah beroperasi sejak 50 tahun itu menggunakan logo halal yang mengelirukan pada kotak pembungkusan.
Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui najis tikus pada plastik pembungkusan serta di bahagian simpanan dulang roti.
Jelasnya, sisa minyak tepu turut ditemui pada troli bertingkat yang digunakan untuk membakar roti dan ia sekali gus boleh berlaku pencemaran silang yang mengakibatkan keracunan makanan.
“Kilang pembuatan roti ini pernah diserbu tahun lepas namun kita dapati mereka masih mengulangi kesalahan yang sama iaitu gagal menepati standard pematuhan kebersihan kualiti makanan.
“Selain gagal mematuhi pematuhan PJKM, pengusaha premis juga didapati menggunakan bungkusan kotak yang mempunyai logo halal, sedangkan premis ini langsung tidak memperolehi sijil halal.
“Isu pengguna logo halal ini serius kerana kita bimbang ia boleh menggelirukan pengguna,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Tambah Mohd Wazir, kilang roti itu diarah tutup serta merta selain pihaknya mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan pekerja gagal memakai pakaian serta peralatan sesuai ketika bekerja.
“Notis penutupan selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan bagi membolehkan pengusaha premis melakukan kerja-kerja pembersihan,” kata beliau.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan, sebuah kilang pembuatan mi di Jalan Pintal Tali di sini turut diarah tutup susulan penemuan pelbagai kesalahan membabitkan isu kebersihan.
Wazir berkata, kilang mi yang berusia 80 tahun itu didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai serta gagal mematuhi PJKM.
“Selain itu, produk mi itu juga tidak mempunyai label sekali gus menyukarkan pencarian pemilik sekiranya pelanggan mengalami keracunan makanan.
“Premis ini juga didapati melakukan kesalahan berulang memandangkan kita pernah serbu dan beri nasihat atas kesalahan sama tahun lepas.
“Susulan itu, serbuan kali ini kita bertindak menutup premis bagi tujuan pembersihan,” kata Mohd Wazir.
Difahamkan, kilang roti dan kilang mi itu memasarkan produk mereka di Pulau Pinang sahaja. – MalaysiaGazette