Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique berucap pada Perasmian Konvensyen Rukun Tetangga 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menafikan dakwaan tahap perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin longgar susulan timbulnya pelbagai isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique menyifatkan ia hanya satu usikan nakal pihak tertentu yang mahu mengetahui bagaimana tahap perpaduan rakyat di negara ini ditentukan dan diukur.

“Tak…(perpaduan longgar), semalam dia orang bangkitkan, saja nak uji. Sebab itu semalam, saya jawab bila dia tanya bagaimana cara kita mengukur tahap perpaduan kita, apa yang dilakukan, macam mana kita nilai.

“Di peringkat Kementerian Perpaduan, kita mengadakan kerjasama dengan Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kita bangunkan dan wujudkan satu kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi tahun ini dan kita sudah mula sejak lihat kepada apa yang telah berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Rukun Tetangga 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini, hari ini.

Halimah berkata, kajian IPNas yang menjadi kayu pengukur kepada kestabilan negara, perpaduan, politik dan ekonomi itu dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

“Kajian itu untuk menilai bagaimana tahap pencapaian perpaduan di peringkat negara dan negeri. Kita akan dapat memantapkan pengisian pelaksanaan program kita melalui apa pelan yang ada.

“Ia juga menjadi indikator, kalau ada mana-mana pelabur dari luar negara yang datang nak buat pelaburan, sudah tentu perkara pertama dia akan lihat ialah kestabilan politik dan negara.

“Jadi ini antara indeks yang menjadi indikator dan kajian IPNas ini akan siap pada Jun 2022,” katanya. – MalaysiaGazette