PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukan RM28 juta bagi membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) untuk tempoh lima tahun bagi meningkatkan pelaksanaan teknologi maklumat dan komunikasi di kawasan luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu merangkumi visi, hala tuju dan rangka pelaksanaan bagi memastikan mandat kesejahteraan masyarakat luar bandar tercapai.
Malah katanya pelaksanaan PSP ini juga merupakan ‘blueprint’ kepada kementerian bagi 2021 hingga 2025.
“Ia menjurus kepada bagaimana kita nak tingkatkan pendigital di kawasan luar bandar, antara perkara yang pentingnya adalah penyediaan infrastruktur di luar bandar dan bagaimana masyarakat di luar bandar dapat diberikan sambungan internet.
“Antara yang kita uruskan adalah 191 Pusat Komuniti Desa akan dipindahkan menjadi Pusat Ekonomi Digital (PEDI),” katanya pada sidang media sempena Himpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi di kementeriannya, di sini, hari ini.
Pada majlis itu beliau melancarkan Pelan Strategik Pendigitalan KPLB (PSPKPLB) 2021-2015.
Hadir pada majlis Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Menurutnya, PSPKPLB 2021-2025 akan menyusun semula penyampaian perkhidmatan digital kementerian dengan menggariskan empat strategik.
Jelas beliau, strategik itu merangkumi pemantapan perkhidmatan digital bersepadu dan inklusif, pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat, pemerkasaan pembudayaan dan profesionalisme teknologi maklumat (ICT) dan tadbir urus ICT tuntas dan mampan.
“Teras strategik ini disokong oleh 14 strategik dan 78 program pendigitalan yang perlu disusuli dengan pemantauan berterusan dari masa ke semasa supaya sentiasa selari dengan aspirasi kementerian dan kerajaan secara amnya,” katanya.
PSPKPLB menunjukkan peranan kementerian dalam pembangunan luar bandar yang tidak hanya tertumpu kepada penyedian infrastruktur pemerkasaan ekonomi, keusahawanan dan pembangunan modal insan, malah ia adalah pemacu kepada agenda pentadbiran kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital.
Mahdzir berkata, kementeriannya juga bercadang meningkatkan capaian internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjelang pertengahan tahun hadapan.
“Perkara ini sedang dibincangkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk bekerjasa dengan badan berkaitan kerajaan (GLC) untuk menjayakan program ini,” katanya. – MalaysiaGazette