Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menyelesaikan segera masalah kenaikan harga barangan sebelum hidup rakyat melarat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman berkata, kenaikan harga ini melibatkan barang makanan untuk mengisi perut serta harga bahan keperluan untuk menjalankan aktiviti pertanian.

Menurutnya, walaupun masalah ini sudah dikenalpasti sejak beberapa bulan dan kerajaan sudah berjanji akan melakukan sesuatu untuk menstabilkan harga, namun apa yang rakyat dapat adalah pengumuman kerajaan untuk menjalankan kajian demi kajian.

”Kenaikan harga barangan sejak beberapa minggu ini amat membimbangkan rakyat. Rakyat yang baru sahaja dapat menjalankan aktiviti rutin mereka seperti dahulu kala kini semakin terbeban dengan peningkatan harga barangan ini.

”Bukan setakat harga barang makanan seperti ayam, telur dan sayuran yang naik sehingga 200% malah saya turut menerima aduan daripada golongan petani bahawa harga racun dan baja untuk tujuan pertanian juga naik mendadak,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, kerajaan sekarang membawa mesej kerajaan Keluarga Malaysia tetapi kenapa rakyat semakin hidup tertekan dan tersepit.

Oleh itu, beliau berharap agar kemelut kenaikan harga barangan dapat diselesaikan sebelum perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina menjelang.

Menurutnya, kebanyakan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan dan kehidupan yang stabil pasca Perintah Kawalan Pergerakan dan kini terpaksa berhadapan dengan inflasi,

”Saya sendiri melalui gerak kerja di dalam kawasan mendapati ramai dalam kalangan rakyat masih lagi memerlukan bantuan, bukan sahaja golongan miskin tegar, bahkan golongan M40 juga kini sangat tersepit kehidupan mereka.

”Saya menyeru semua kementerian dan agensi yang berkenaan agar segera menjalankan siasatan dan turun padang menjalankan operasi untuk membendung masalah kenaikan harga barang makanan mentah yang semakin tidak munasabah dan membebankan ini,” ujar beliau.

Beliau juga meminta agar bantuan kerajaan kepada rakyat diperluaskan kerana dalam keadaan sebegini setiap satu rakyat di negara ini menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan, tidak kira sama ada mereka sudah berkahwin atau masih bujang.

Bantuan juga perlu diperluaskan lagi untuk golongan M40 kerana taraf kehidupan mereka kini sudah merundum jatuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast