Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique (tengah) bergambar kenangan dengan peserta selepas Perasmian Konvensyen Rukun Tetangga 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Hotel Impiana, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara tidak menafikan pengwujudan sebuah sekolah perpaduan di negara ini akan meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama.

Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, walaupun ketika ini tiada sekolah perpaduan seumpama itu, namun kementeriannya telah memulakan usaha itu di peringkat sekolah dan universiti.

“Cadangan itu sangat baik, jadi kita akan ambil untuk dilaksanakan di peringkat sekolah-sekolah dulu.

“Kita ada lebih kurang 6,612 Kelab Rukun Negara di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Di peringkat universiti kita ada sekretariat rukun negara, ini adalah antara struktur gerakan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti

“Kita mulakan dari situ melalui kelab-kelab ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Halimah merasmikan Konvensyen Rukun Tetangga 2021 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Hotel Impiana KLCC.

Semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan supaya sebuah sekolah perpaduan yang mempunyai pelbagai aliran diwujudkan bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama.

Beliau berkata, walaupun sekolah perpaduan mempunyai aliran kebangsaan, Cina, Tamil dan lain-lain, sekurang-kurangnya pelajar berada di dalam satu kawasan, sekali gus berkongsi hidup dengan aman damai tanpa lupa asal usul.

Dalam pada itu, selain pendidikan sekolah dan universiti, Kementerian Perpaduan Negara juga menerapkan rukun negara di peringkat pendidikan awal kanak-kanak menerusi 1,781 Tabika Perpaduan di seluruh negara.

“Di peringkat Tabika Perpaduan, kita ada pelan pendidikan awal kanak-kanak dan kita letakkan elemen-elemen yang berkaitan dengan semuanya berteraskan kepada Perlembagaan negara dan Rukun Negara.

“Jadi di peringkat umur 4, 5, 6 di tadika perpaduan ini, kita ajar tentang pendidikan Rukun Negara serta bahasa-bahasa komunikasi seperti Mandarin, Tamil, Kadazan, bahasa isyarat.

“Selain itu, kita juga terapkan mata pelajaran lain termasuk mata pelajaran berkaitan dengan kerohanian. Kita ada mata pelajaran agama dan pendidikan moral.

“Kita kena mula dari asas, selain keluarga ada pendidikan awal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast