Tosrin Jarvanthi

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 37,853 kes penceraian direkodkan di Johor pada tahun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi.

Katanya, ia merupakan 11.5 peratus kes penceraian di Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memandang serius  isu keruntuhan institusi rumahtangga di negeri tersebut.

“Bagi mengatasi keruntuhan rumahtangga, Bahagian Undang-Undang Syariah JAINJ dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), saban tahun bekerjasama menyusun dan menambahbaik kaedah perlaksanaan serta modul yang disampaikan kepada peserta kursus pra perkahwinan.

“Malah perubahan modul telah pun ditambahbaik sehingga versi yang keempat semenjak ia dilaksanakan.

“Bagi program keibubapaan pula, Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ juga sentiasa menyusun program kekeluargaan bagi memastikan tindakan pencegahan penceraian dapat dilaksanakan dan institusi keluarga terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor memperuntukkan RM300,000 bagi khusus bantuan nafkah kepada anak anak mangsa penceraian.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 adalah menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan manakala RM100,000 lagi peruntukan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Penerima pendahuluan dana (Pemiutang Penghakiman) itu perlu melalui prosedur khidmat nasihat perkahwinan terlebih dahulu sebelum diberikan dana berkenaan bagi meringankan beban ditanggung anak, jika perceraian berlaku.

“Sekiranya gagal khidmat nasihat atau kaunseling, pemiutang akan ditawarkan pendahuluan dana berkenaan, namun kebanyakan mereka terpaksa menolak atas alasan perlu membayar balik dana itu,” katanya. – MalaysiaGazette