Datuk Mastura diasak pembangkang di Parlimen menuntut peruntukan sama adil.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid diasak sekumpulan wakil rakyat pembangkang yang mahu tuntutan peruntukan sama adil kepada mereka.

Beliau berdepan dengan asakan Ahli Parlimen Kubang Pasu (Pejuang), Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Pokok Sena (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dan beberapa lagi ahli Parlimen lain yang mencelah.

Asakan itu bermula apabila Amiruddin tidak berpuas hati dengan jawapan berhubung perkara yang dibangkitkannya iaitu mahu peruntukan diberikan kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Konsep Keluarga Malaysia ini perlu bermula dalam dewan ini, maksud saya sekiranya wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka dalam dewan harus diberikan layanan yang sama rata.

“Kalau diberi peruntukan, biarlah peruntukan itu diberi kepada semua, barulah konsep Keluarga Malaysia itu kita dapat laksanakan.

“Kerajaan bercakap dalam dewan, dalam perjumpaan tidak formal (dengan pembangkang), tetapi hakikatnya tidak berlaku. Saya nak tanya apakah sebenarnya pendirian kerajaan terhadap peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada semua wakil rakyat dengan secara sama rata?” soalnya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.

Mastura mengakui ada menyebut dalam dewan mengenai pemberian peruntukan kepada semua wakil rakyat.

“Saya juga bersetuju segala apa yang baik dan murni harus bermula dari dewan ini. Kalau YB meneliti semula jawapan saya, saya ada menyebut mengenai komitmen YB untuk melaksanakan bagi memurnikan lagi dan mempunyai satu pembaharuan dalam usaha-usaha perjalanan antara ahli Parlimen.

“Ia ada kaitan dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang ditandatangani dan kita harus menjadi ahli daripada perjanjian itu. Di situlah peruntukan itu akan disalurkan,” katanya.

Suara dari blok pembangkang mencelah, “Nak bagi ke tak mahu bagi…cakap sajalah”.

Belum sempat Mastura menjawab, Mahfuz mencelah; “Adakah rakyat yang sokong pembangkang bukan rakyat Malaysia? Ini soal rakyat bukan ahli Parlimen.

“Setakat bagi baju kat kami, nak buat apa (sambil tunjuk baju dalam bungkusan plastik).. buat lap kedai mamak, bolehlah,” katanya.

Celahan Mahfuz itu dibalas oleh suara dari blok kerajaan, “syukurlah dapat baju pun.

Mastura berkata, walaupun buat masa ini peruntukan itu belum lagi diberi tetapi pembangkang mesti tahu ada juga peruntukan lain melalui agensi dan jabatan disalurkan ke kawasan Parlimen mereka.

Suasana gamat itu ditenangkan Timbalan Speaker Dewan, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menutup pembesar suara di meja Mahfuz sambil beralih kepada sesi pertanyaan lain. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.