Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih mengkaji untuk membawa masuk warga asing dari tiga negara untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketiga-tiga buah negara itu ialah Filipina, Indonesia dan Bangladesh.

“Buat masa ini, kita hanya ada tiga negara iaitu Filipina, Indonesia dan Bangladesh. Bagaiamanapun kita nak tengok lagi kajian ini di mana India juga boleh kita berikan, semua itu harus kita buat kajian terperinci sebelum saya umumkan.

“Ini merupakan cadangan daripada kerajaan,” katanya dalam sidang media bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan agensi persendirian di ibu negara hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Dr Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri KDN II, Jonathan Yasin.

Jelas Hamzah, sebelum itu, kerajaan akan melakukan perincian yang rapi bagi memastikan negara tidak menghadapi masalah daripada pengambilan pengawal keselamatan daripada tiga negara ini kelak.

“Perinciannya akan kita lakukan selepas kita ada kerjasama dan bukan hanya daripada pemain industri tetapi juga kerjasama dengan polisi kerajaan terutamanya Kementerian Luar Negara, Kementerian Pertahanan dan ini semua yang harus kita adakan perbincangan dengan lebih lanjut dalam memastikan tidak ada masalah yang timbul nanti apabila kita import mereka daripada luar negara.

“Bila timbul isu keselamatan negara, kita kena pastikan mereka yang dibawa masuk adalah mereka yang benar-benar mahu kerja. Itu sebab kita kena sensitif dengan isu ini dan kita akan umumkan apabila semua sudah selesai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 66 lesen syarikat kawalan keselamatan telah dibatalkan sejak 2014.

Jelas Hamzah, kesemua lesen itu ditarik balik kerana didapati tiada tapisan keselamatan dan juga salah guna senjata api.

“Tidak ada kompromi lagi dimana mereka yang menyewa, memajak atau hanya menjadi proksi kepada orang lain, akan kita tarik semula lesen tersebut untuk tidak lagi berkhidmat di negara kita.

“Pembatalan syarikat kawalan swasta sudah melibatkan 66 lesen daripada 900 lebih lesen,” katanya lagi.

Menurut Hamzah, sekiranya lesen syarikat tidak diperbaharui selewat-lewatnya 31 Disember depan maka ia akan ditarik balik oleh KDN. – MalaysiaGazette