Undi18 Sarawak state election polls Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Undi18 voters Election Commission anti-party hopping
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses segera melaksanakan pendaftaran umur minimum pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan itu dibuat sebelum 31 Disember ini selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Beliau berkata, SPR telah pun melaksanakan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain berkaitan, penyediaan SOP dan sistem serta infrastruktur.

“SPR telah membuat pembentangan di Mesyuarat Jemaah Menteri dan Mesyuarat Menteri Besar serta Ketua Menteri pada 23 November lalu.

“Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya umum, pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil,” katanya dalam sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Mengenai status terkini pelaksanaan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) dan perkara yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, perjumpaan dengan ketua parti-parti politik akan diadakan Disember ini.

Menurut Wan Junaidi, perjumpaan itu untuk mendapatkan pandangan berkaitan cadangan dan pendirian kerajaan berhubung undang-undang anti-lompat parti.

Katanya, satu kajian soal selidik telah diadakan oleh jabatannya bagi mendapat pandangan Ahli Parlimen dan orang awam berkaitan perundangan lompat parti.

Menurut beliau, soal selidik itu boleh dijawab oleh orang awam dan ahli Parlimen mulai 23 November sehingga 7 Disember 2022 dengan harapan hasil kajian

Ia boleh membantu mendapat pandangan berkaitan isu lompat parti.

“Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik telah diberi taklimat pada 24 November lalu oleh Peguam Negara berkaitan perkara ini.

“Satu kerangka RUU telah disediakan, tetapi masih terdapat banyak persoalan dasar yang tidak dapat dijawab.

“Oleh itu, satu Jawatankuasa Teknikal akan ditubuhkan dengan keahlian tiga orang dari pembangkang dan tiga dari kerajaan bagi meneliti persoalan ini serta kerangka tersebut berstatus embargo. – MalaysiaGazette