GEORGE TOWN – Seramai 299 pelajar di Pulau Pinang bergelar anak yatim termasuk empat yatim piatu susulan kehilangan ibu bapa serta penjaga akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri itu, kira-kira 194 pelajar kehilangan bapa dan diikuti dengan ibu (78), penjaga (6) manakala kedua-dua ibu bapa (4).
Exco Kesihatan, Agroteknologi, Keselamatan Makanan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Norlela Arifin berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang akan menubuhkan jawatankuasa petugas khas (task force) dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri dan agensi-agensi lain yang berkaitan bagi menjaga kebajikan pelajar terbabit.
Kata beliau, petugas khas itu juga akan melihat bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan pelajar terbabit khususnya dalam memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan.
Jelas Norlela, JKM turut menghubungi kumpulan pelajar yang terjejas akibat Covid-19 bagi menawarkan khidmat kaunselor dan sokongan selain kita turut menghulurkan bantuan-bantuan lain seperti bakul makanan.
“Mengikut statistik seramai 95 daripada pelajar itu tinggal di Timur Laut diikuti Seberang Perai Tengah (84); Seberang Perai Utara (46); Barat Daya (41) dan Seberang Perai Selatan (33)
“Dari segi pecahan keluarga pula, seramai 224 merupakan pelajar terdiri daripada keluarga Melayu; Cina (47); India (24) dan lain-lain bangsa (4).
“Seramai 142 atau 47.7 peratus daripada kanak-kanak merupakan murid sekolah rendah, 152 atau 50.8 peratus pelajar sekolah menengah dan lima orang atau 1.7 peratus ialah pelajar sekolah agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Mengulas lanjut Norlela berkata, terdapat kes enam beradik menjadi yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa dan dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 18 tahun daripada keluarg itu memilih untuk bekerja bagi meneruskan kehidupan sekali gus menyara empat lagi adik mereka. – MalaysiaGazette.