Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai mengenai Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 menunjukkan peningkatan hampir di semua negeri kecuali di Perlis, Sarawak dan Sabak selepas kerajaan memberi kebenaran merentas negeri sejak 11 Oktober lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menunjukkan kadar pengisian katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

“Namun, tujuh negeri lagi iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

“Bilangan pesakit Covid-19 kategori tiga hingga 5 dalam kumpulan umur 40 tahun ke atas dan warga emas (60 tahun dan ke atas) menunjukkan peningkatan.

“Ini mungkin disebabkan tahap antibodi terhadap Covid-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap.

“Situasi ini juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Khairy lagi, golongan warga emas dan yang berusia 40 hingga 59 tahun adalah terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini.

Disebabkan itu kata beliau, tahap antibodi mereka terhadap Covid-19 menurun lebih awal.

Katanya, bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan Covid-19 kekal optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan pemberian dos penggalak dan sehingga 25 November.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,823,474 dos penggalak telah diberikan.

“Saya juga ingin memaklumkan terdapat empat kluster yang dilaporkan berpunca daripada aktiviti sosial bagi tempoh dari 11 Oktober lalu hingga semalam iaitu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette