ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM85,700 selepas terperdaya dengan janji kekasih maya yang dikenalinya menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata mangsa berusia 59 tahun dari Masjid Tanah itu mengenali suspek pada Julai lepas menerusi Instagram menggunakan akaun Ahmed Hashima yang mengaku berasal dari Amerika Syarikat.
“Mangsa yang tidak bekerja itu kemudian berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp dan diberitahu lelaki itu akan mengirim hadiah mewah sebagai tanda persahabatan.
“Mangsa ditawarkan hadiah barangan berjenama seperti beg tangan, kasut, dompet dan jam tangan selain rantai leher emas dan gelang tangan emas serta wang AS$15,000,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata pada 2 Ogos lepas, wanita tersebut telah menerima mesej menerusi WhatsApp yang didakwa daripada pos laju Kuala Lumpur mengatakan bahawa barangnya telah sampai namun meminta mangsa membuat pembayaran kerana barangan itu mempunyai masalah.
Beliau berkata mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat dari Ogos hingga Oktober lepas ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM85,700 namun, setelah bayaran dilakukan pengadu masih tidak menerima barangan tersebut.
“Malah, Ahmed Hashima masih meminta wang daripadanya dan mangsa mengesyaki telah diperdaya oleh individu tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.- BERNAMA