KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga barangan tertentu di pasaran ketika ini.
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO. Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ini kerana KPDNHEP adalah pihak yang mengurus dan mengawal kenaikan harga barangan pengguna namun tiada pelan tindakan mengatasi masalah itu dilihat ketika ini.
“Apakah yang kementerian sedang lakukan atau hanya sekadar membiarkan pasaran menentukan harga?
“KPDNHEP perlu segera mainkan peranan untuk mengawal harga barangan mentah keperluan dengan menguatkuasakan Akta kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan. Hanya Melalui penguatkuasaan sahajalah kesan kepada pengguna dan rakyat dapat diminimakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, pihaknya turut mendesak agar kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengadakan perbincangan dengan negara pengeluar bagi mengatasi kenaikan kos penanaman dan pantauan berkala mesti dilaksanakan supaya tindakan dapat diambil terhadap mana-mana pengeluar yang sewenang-wenangnya menaikkan harga asal yang boleh membebankan pengguna.
“Malah, kami senada dengan pendapat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya (Facebook) menyatakan sudah tiba masanya untuk kerajaan benar-benar menetapkan hala tuju ‘Dasar Jaminan Makanan Negara’ agar kebergantungan kita kepada barangan asas import dapat diminimakan,” ujartnya.
Terdahulu, dalam kenyataan itu, Syed Mohd Johan Rizal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar membangkitkan isu berkaitan harga roti Gardenia yang dilapor akan dinaikkan harga antara 10 sen hingga 45 sen mulai 1 Disember ini.
Katanya, kali kedua Gardenia menaikan harga roti adalah pada 1 Jun lalu dan itu baru melibatkan satu barang yang sudah secara rasmi diumumkan akan dinaikkan.
Tambahnya, kenaikan harga boleh melibatkan barangan lain dan ia mungkin dilakukan oleh syarikat pengeluar produk sama kenaikan dibuat melalui pengumuan ataupun dilakukan secara senyap-senyap
“Alasan pengeluar, kenaikan ini berlaku kerana kenaikan kos akibat penularan Covid-19 serta diakibatkan peningkatan kos pengeluaran.
“Difahamkan kenaikan berpunca terus dari kos pertanian apabila harga baja, benih, racun naik 100 peratus bermula awal tahun 2021.
“Kenaikan juga berlaku akibat monopoli dunia menjadi kesan kenaikan terutamanya dari hasil-hasil import dari negara China yang akhir sekali kesannya dapat dirasai kini. Antara sebab sebab lain juga adalah permintaan terhadap baragan mentah ini menjadi lebih tinggi selepas sektor industri makanan dibuka semula,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, rakyat kini sedang berdepan dengan tekanan kenaikan harga barangan makanan yang boleh disifatkan “mengila” seolah macam pesta pakat-pakat naik harga barangan dengan alasan kos meroket.
Memburukan keadaan lagi keadaan ujarnya, penglibatan ‘orang tengah’ yang cuba mengaut keuntungan berlebihan telah memberi kesan keparahan kepada poket rakyat dan pengguna.
“Pengeluar dengan mudah boleh menaikan harga barang apabila kos naik dan selaku pengguna, mereka terpaksa membeli akibat tiada pilihan di dalam pasaran.
“Lebih menyedihkan pengguna tidak mempunyai kaedah bagi menaikkan pula pendapatan mereka dengan segera bagi menampung kenaikan kos bagi membeli barangan.
“Ramai sekarang ini masih susah akibat tekanan ekonomi kerana Covid-19 dengan pendapatan belum stabil dan sekarang terpaksa pula menanggung kenaikan harga barangan.
“Besar beban golongan ini terutama golongan B40 dan M40. Bagaimana mereka hendak menyerap kenaikan kos dengan pendapatan yang masih statik,” katanya. – MalaysiaGazette