Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menyampaikan anugerah kepada pemenang dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Worldskills Malaysia 2021 anjuran JPK, KSM di Bangi Resort Hotel - Foto Mohd Saiful KSM.

BANGI – Pencapaian cemerlang peserta negara dalam pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa membuktikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara mampu melahirkan modal insan yang memenuhi standard kemahiran antarabangsa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kerajaan akan terus menyokong aktiviti pertandingan kemahiran sama ada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.

“Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, pembangunan bakat adalah penting maka dengan itu, Rancangan Malaysia ke-12 banyak memberikan penekanan kepada aspek pembangunan bakat kemahiran tinggi khususnya TVET,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Worldskills Malaysia 2021 di sini hari ini.

Menurut Awang, pasukan negara juga akan menyertai Worldskills Competition (WSC) di Shanghai pada bulan Oktober tahun depan dan persiapan sedang giat dijalankan.

Worldskills Malaysia di bawah naungan Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) yang juga  anggota Worldskills International (WSI) dan diurus setiakan bersama oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR)  bertanggungjawab menganjurkan tiga pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan menguruskan penyertaan peserta negara dalam lima pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa.

Malaysia telah berjaya merangkul dua emas melalui peserta dari KKTM Kuantan dan ADTEC Melaka serta dua gangsa melalui SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan SMK Majidi Baru 2 Johor Bharu di dalam Worldskills Rusia IX National Competition.

Selain itu, dua emas serta tiga perak juga berjaya dirangkul di dalam Worldskills Asia Online Friendly Skills Game 2021. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast