SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berusaha untuk menjadikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, sekali lagi.
Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu Malaysia, Dr. Afif Bahardin berkata, Perikatan Nasional (PN) memerlukan kepimpinan Muhyiddin untuk menerajui pentadbiran negara.
“Pemimpin parti lama saya dulu, Timbalan Perdana Menteri (Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim), pemimpin Bersatu pula mantan Timbalan Perdana Menteri (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan sekarang bekas Perdana Menteri.
“Kita akan usaha untuk jadikan beliau sebagai Perdana Menteri kita semula. Muhyiddin ini orang ada prinsip dan dia melawan kebobrokan. Hari ini kita dapat lihat kepimpinan beliau tidak sekali lari demi hanya kerana nak pertahankan jawatan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada Persidangan Tahunan Bahagian Bersatu Shah Alam, di sini, hari ini.
Sementara itu, Afif yakin Bersatu dapat menggulingkan PKR di Shah Alam khususnya dan Pakatan Harapan umumnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, demi mencapai matlamat berkenaan, Bersatu perlu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai pengalaman untuk menyusun strategi bagi berhadapan PRU ke-15.
“Bersatu Shah Alam bersedia berhadapan dengan PRU dan sedia untuk gulingkan Pakatan Harapan di Shah Alam.
“Kita kena terima PRN Melaka menang dua kerusi tetapi kita dapat lihat jumlah undi itu kita sebenarnya mempunyai sokongan baik dan besar di Melaka dan saya yakin sokongan itu ada di Selangor ini lebih-lebih lagi di Parlimen Shah Alam.
“Parti lama saya, PKR baru-baru ini di Melaka kosong. Saya yakin saya tahu sebab saya lama di dalam parti itu. Kalau kena strateginya, susun jentera dari sekarang tidak mustahil PKR juga dapat kita kuburkan di Shah Alam,” tambah Afif. – MalaysiaGazette