Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2021.

IPOH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberi tekanan kepada pemain remaja Aifa Azman untuk menggantikan Datuk Nicol Ann David sebagai ratu skuasy negara susulan kejayaannya di Terbuka Malaysia 2021 semalam.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Aifa, 19, merupakan seorang pemain berpotensi dan mampu pergi lebih jauh dalam kariernya.

“Saya memang kagum dengan pencapaian Aifa. Saya harap beliau akan terus berjaya namun kita tidak perlu berikan tekanan cukup kuat yang terlalu besar kepadanya untuk menggantikan Nicol David,” katanya selepas menghadiri Program Derma Darah Perak-Foodbank bersama Kiwanis Jelapang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya optimis dan akan terus memberi sokongan kepada kejayaan Aifa dalam mengibarkan Jalur Gemilang sekali gus mengharumkan nama negara di pentas kejohanan seterusnya.

Semalam, Aifa menjuarai Terbuka Malaysia 2021 selepas menundukkan pilihan utama Salma Hany yang juga pemain di ranking kelapan dunia dari Mesir di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Ahmad Faizal, yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), turut menafikan ‘cakap-cakap’ warganet kononnya beliau adalah tulang belakang di sebalik pengambilalihan Perak FC oleh syarikat pengiklanan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd baru-baru ini.

“Wallahi wabillahi wattallahi saya tidak ada kena-mengena dengan syarikat yang mengambil alih Perak FC. Kepada mereka yang telah memiliki Perak FC, saya ucapkan selamat maju jaya.

“Mesti ingat bahawa rakyat dan penyokong bola sepak di Perak ini berharapan besar untuk melihat pasukan ini berjaya dan menjadi kuasa besar dalam sukan bola sepak negara,” katanya.

Dilapor pada Selasa, PAFA mengumumkan Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd sebagai pemilik baharu Perak FC selepas 100 peratus pegangan saham badan induk itu dijual kepada syarikat berkenaan.

Pemangku Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, keputusan itu, yang berkuat kuasa hari ini, diambil selepas melihat kesungguhan syarikat berkenaan dalam proses pengambilalihan tersebut. – Bernama