Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menjawab soalan ahli bukan NGO kerajaan ketika sesi dialog pada Majlis Pertemuan Pemimpin-Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Hotel Dorset, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Agensi-agensi penguatkuasa Islam digesa supaya terus melakukan tangkapan terhadap orang Islam yang berjudi kerana ia berlandaskan undang-undang sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, pelaksanaan undang-undang berhubung aktiviti perjudian dalam kalangan orang Islam sudah mencukupi bagi membendung aktiviti tidak sihat itu.

“Saya minta pihak JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) sendiri (untuk kuatkuasakan undang-undang) di mana lesen diberikan tapi sekurang-kurangnya kita ada penguatkuasa tangkap orang Islam yang main judi.

“Biar ia (premis) kena serbu dua tiga kali, nanti dia (pengusaha) rasa bimbang juga.

“Kita bukan guna undang-undang lain, kita guna undang-undang sedia ada sebab orang Islam diharamkan judi, kita ambil langkah yang boleh mengurangkan, itu cadangan kita,” katanya dalam soal dialog sempena pertemuan beliau dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tahunan yang diadakan di sebuah hotel, hari ini.

Hadir sama adalah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan.

Idris sebelum ini terpalit dengan kontroversi apabila mengasak wartawan berhubung isu penutupan kedai nombor ekor oleh kerajaan pimpinan Pas di Kedah.

Idris yang juga Naib Presiden Pas ketika itu menyoal wartawan yang megajukan soalan kepada dirinya samada wartawan itu khuatir apabila suaminya seorang kaki judi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan kerajaan Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai nombor ekor.

Menurut Sanusi, ia sebagai usaha untuk menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian. – MalaysiaGazette