TANJONG MALIM – Sebaik tamat Majlis Istiadat Konvokesyen Kali-22, Jumaat lalu, warga
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memberi tumpuan membuat persiapan untuk majlis pelancaran Sambutan 100 Tahun yang akan berlangsung Isnin ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pelancaran sambutan 100 Tahun yang disempurnakan oleh Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
Sambutan berkenaan, katanya, juga membentangkan kenangan dan sumbangan alumni sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga ke era UPSI.
UPSI memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman SITC yang ditubuhkan pada 29 November 1922, MPSI, IPSI seterusnya dinaiktarafkan kepada UPSI pada 1 Mei 1997.
Bagi persiapan acara itu, Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah dihias indah, manakala pintu gerbang kampus berkenaan diserikan dengan limpahan cahaya lampu berwarna-warni yang mencantikkan lagi suasana kampus pada malam hari.
Menurut beliau Majlis Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI bermula dengan pelancaran logo sambutan pada awal Ogos lalu yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi slot Selamat Pagi Malaysia (SPM) siaran RTM.
Selain itu, katanya, UPSI menjual pelbagai bentuk cenderamata yang terpapar logo sambutan 100 Tahun untuk dibeli dan dimiliki oleh warga UPSI, alumni SITC-MPSI-IPSI-UPSI serta masyarakat yang ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi.
Sejurus pelancaran, UPSI bakal melaksanakan 100 program yang membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab sehingga acara kemuncak sambutan pada 29 November 2022. – MalaysiaGazette