Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

SHAH ALAM – ADUN DAP, Datuk Teng Chang Khim ‘panas punggung’ apabila Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail mendedahkan banyak anak syarikat kerajaan negeri (GLC) tidak bermesyuarat.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan pendedahan itu minta ADUN Sungai Air Tawar itu menyenaraikan secara spesifik nama-nama syarikat yang didakwanya tidak kerap mengadakan mesyuarat.

Chang Khim yang juga ADUN Bandar Baru Klang itu melenting kerana beliau juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah sebuah GLC dan mengadakan mesyuarat mengikut ketetapan syarikat setiap tahun.

“YB Sungai Air Tawar telah buat satu tuduhan tidak berasas. Kita ada banyak anak syarikat dan saya pun ada dalam anak syarikat, semua anak syarikat di mana saya adalah ahli lembaga semuanya mengadakan mesyuarat mengikut jadual.

“Adalah amat tidak adil YB Sungai Air Tawar menyatakan banyak syarikat tidak mengadakan mesyuarat. Itulah satu tuduhan yang serius. Kena spesifik, syarikat mana tidak bermesyuarat. Jangan buat tuduhan secara umum, melulu. Ini tidak adil,” katanya mencelah sesi perbahasan RUU Perbekalan 2022 bagi negeri Selangor di persidangan DUN hari ini.

Rizam menjawab, beliau menyebutkan kebanyakan laporan.

Beliau sempat Ketua Pembangkang meneruskan perbahasannya, Chang Khim menyampuk, “Hah, kebanyakan… itu maknanya majoriti.. itu satu lagi tuduhan tidak adil.. mana dia, sebutkan syarikat mana.

“Kalau betul ada aduan itu, kalau betul ada audit itu sebutkan namanya. Saya cabar Ketua Pembangkang, kalau berani buat tuduhan, spesifikkan bagikan kepada kita untuk jawab dan ambil tindakan..

Rizam kemudiannya menjawab, antaranya sebelum ini adalah Yayasan Selangor.

Chang Khim: Itu sebelum ini, mana yang sekarang ini, yang dituduh…

Rizam: Kenapa saya perlu jawab satu demi satu..

Timbalan Speaker DUN, Hasnul Baharuddin kemudian meminta Rizam kemukakan secara spesifik nama-nama GLC yang dikatakan tidak mengadakan mesyuarat secara kerap itu.

Sebelum itu, dalam perbahasannya, Rizam berkata, dakwaannya itu berdasarkan Laporan Audit Negara yang menyatakan, tidak berlaku kekerapan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Persoalannya, kata beliau, jika mesyuarat itu jarang dilakukan bagaimana keputusan itu dapat dibuat, adakah ianya akan ditentukan oleh CEO semata-mata dan mana ketelusan serta semak dan imbang akan berlaku.

“Ini dibimbangi akan menyebabkan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa. Selain itu, saya ada juga menerima aduan mengenai masalah GLC Selangor yang gagal dalam mengurus aset masing-masing.

“Bagaimana sesebuah syarikat ini mampu menambah pendapatan syarikat, sedangkan mereka tidak mampu menjaga aset sendiri,” soal beliau. – MalaysiaGazette