Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Masih ada seramai 132 penjawat awam di Selangor belum mendapatkan dos imunisasi Covid-19 sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah itu adalah 0.59 peratus daripada keseluruhan 22,314 penjawat awam yang berkhidmat di 43 jabatan dan agensi kerajaan di Selangor.

Menurut beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling mengenai dasar pelaksanaan imunisasi Covid-19 ini bagi pegawai perkhidmatan awam, yang turut dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berdasarkan pekeliling itu, katanya, penjawat awam atau pegawai perkhidmatan awam bertanggungjawab untuk mendapatkan dos imunisasi Covid-19 yang lengkap sebagaimana ditetapkan kerajaan.

“Ini bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam pada tahap optimum.

“Oleh itu, pada atau selepas 1 November lalu, pegawai boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan vaksin lengkap dengan cara mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19.

“Mana-mana pegawai gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan,” katanya pada sesi menjawab mulut di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Menurut Dr. Siti Mariah, sekiranya pegawai berkenaan tidak dapat melengkapkan dos imunisasi Covid-19 atas sebab kesihatan, mereka boleh membuat pemeriksaan kesihatan dengan pengamal perubatan berdaftar bagi mengesahkan tidak layak untuk menerima imunisasi.

Mengenai soalan tambahan, adakah individu tidak mahu divaksin boleh mencabar kerajaan negeri secara perundangan memandangkan vaksinasi tidak diwajibkan, beliau berkata;

Walaupun tidak diwajidkan, tetapi JPA telah mengeluarkan pekeliling berkaitan dasar pelaksanaan imunisasi Covid-19 bagi pegawai perkhidmatan persekutuan berkuatkuasa 18 Oktober 2020.

“Atas dasar itu, tindakan tatatertib boleh diambil walaupun secara peribadi kita boleh bersetuju dengan peraturan ini, namun ia adalah polisi di peringkat negara,” katanya. – MalaysiaGazette