KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merangka usaha menyalurkan bantuan kewangan bagi menyerap peningkatan kos di peringkat pengeluar dan pemborong.
Ia dilakukan selepas Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini.
“Melangkah ke hadapan, fokus Kementerian seterusnya adalah memastikan harga barangan keperluan asas yang ketika ini mencatatkan peningkatan, dapat distabilkan menerusi mekanisme tertentu,” kata KPDNHEP menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, menurut kenyataan itu, kementerian tersebut telah mencapai 100 peratus Tiga Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan.
Pencapaian berkenaan selari dengan menjelang 100 hari pentadbiran kerajaan terkini, ujarnya.
Tambahnya, tiga KPI berkenaan adalah membabitkan isu pengecualian menggunakan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 dan Akta Kawalan Bekalan (CSA) 1961 di Sarawak, menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen dan memastikan kemampanan industri francais.
Katanya, kini ujian RTK antigen boleh didapati di premis peruncitan pada harga serendah RM4.90, iaitu pengurangan sebanyak 87.7 peratus berbanding harga asal iaitu RM39.90, ketika peranti ini mula dijual di pasaran.
“Susulan impak faktor persaingan, lambakan RTK antigen yang dijual di pasaran sehingga menjangkau 83 jenama dan pengeluar (berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) setakat 24 November 2021), maka KPDNHEP mengambil pendirian bahawa tiada keperluan untuk menetapkan harga siling bagi peranti ini,” tambah kementerian berkenaan.
Kementerian itu dalam masa yang sama memberi jaminan akan membuat pemantauan secara berkala terhadap harga ujian RTK di pasaran supaya tidak berlaku manipulasi harga.-MalaysiaGazette