Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima sumbangan berjumlah RM7.1 juta bagi tabung Covid-19 negeri tersebut dalam tempoh 20 bulan.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, tabung  itu dilaksanakan kerajaan negeri bagi mendepani cabaran pandemik tersebut.

Jelas beliau, sejak ditubuhkan sehingga 5 November lalu sebanyak RM7.1 juta telah disumbangkan pelbagai pihak termasuk jabatan, agensi kerajaan negeri, badan berkanun negeri, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu.

“Daripada jumlah terkumpul itu, sebanyak RM2.5 juta telah dibelanjakan bagi menangani Covid-19 di negeri ini.

“Antara kegunaan wang tersebut termasuk bayaran bantuan secara one-off kepada pesakit/ waris Covid-19, pembelian 40,000 ujian kit kendiri, pembekalan makan minum petugas dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. – MalaysiaGazette