Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan mempertimbangkan semula ura-ura menandatangani Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Putra berpendapat, perjanjian itu bukan sahaja menyukarkan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Bumiputra tetapi merupakan perjanjian komprehensif berat sebelah.

Ketua Penerangannya, Ashraf Rosli berkata, ini kerana undang-undang dan kedaulatan negara boleh dicabar di luar negara, di mana syarikat Malaysia boleh dikenakan denda jika tidak menepati syarat yang termaktub dalam CPTPP.

Beliau berharap, keputusan itu dikaji semula, terutama ketika ekonomi negara masih berada di fasa pemulihan, yang mana impak negatif terutamanya kepada usahawan Melayu menunjukkan ramai sudah gulung tikar.

“Mereka baru hendak mula bangkit dalam ekonomi, maka tidak adil kepada mereka untuk bersaing dipersada global.

“Sepatutnya kerajaan perlu memperkasakan agensinya seperti MARA dan TERAJU bagi membina semula ekonomi usahawan Bumiputra sebelum melaksanakan perjanjian yang dilihat lebih merugikan negara dan rakyat amnya.

“Kita faham tujuan kerajaan adalah untuk menyasarkan purata pendapatan isi rumah dianggarkan RM10,000 sebulan pada 2025 dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, hak dan kepentingan bumiputera tidak akan terjejas jika kerajaan meratifikasikan CPTPP.

Beliau dilaporkan berkata, terdapat dasar yang jelas untuk melindungi hak dan kepentingan Bumiputera seperti terjamin dalam Perlembangaan Persekutuan ketika negara menandatangani perjanjian CPTPP pada 2018.

Menurut Ashraf, perhatian Putra lebih tertumpu kepada pendapatan Bumiputera yang empat kali ganda lebih rendah berbanding kaum lain dan peluang usahawan semakin mengecil jika terpaksa bersaing dengan gergasi perniagaan antarabangsa.

Selain daripada GLC, katanya, adakah usahawan Bumiputra di kala ekonomi masih tenat ini, mempunyai kekuatan serta mampu bertahan dalam kemelut ekonomi kini?

“Namun, kita tidak nafikan usaha Perdana Menteri dalam percubaannya untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam RMK-12 dengan sebahagian besar perusahaan mikro, kecil dan sederhana perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik.

“Kita juga berharap kerajaan lebih prihatin dalam mengkaji impak CPTPP kepada usahawan Bumiputra. Janganlah menang sorak, kampung tergadai dan sebelum memeterainya, fikir dahulu serta pastikan agar jangan terjadi ayam terlepas, tangan bau tahi.

“Secara tegas, Putra menolak CPTPP demi kepentingan negara dan sehingga kini kaum majoriti peribumi tidak mendapat pembahagian kek ekonomi yang adil kaum lain dan pihak asing,” katanya. – MalaysiaGazette