Bali Jalang

JOHOR BAHRU – Kerinduan rakyat Malaysia bekerja di Singapura  yang terkandas hampir dua tahun tidak dapat pulang ke tanah air akhirnya terubat.

Hari ini, seramai 46 daripada mereka tiba ke Malaysia sebagai pengembara ekoran kebenaran pembukaan sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land).

Bagi bapa kepada lima orang anak, Bali Jalang, 36, kerinduannya terhadap keluarga dan salah seorang anak kecilnya yang belum ditemui sejak dilahirkan merupakan detik kegembiraan kepadanya.

“Macam-macam perasaan. Semua bercampur baur, lagi-lagi bila mahu berjumpa dengan anak perempuan kecil. Saya belikan baju-baju.

“Perjalanan setakat ini semua ok, saya di sana (Singapura) daripada pukul 6 pagi. Dua jam menunggu seperti dimaklumkan. Tapi okla semua.

“Saya bersyukur sangat kerana bos saya membantu apabila saya maklumkan untuk pulang, dia gembira tidak terkata,” katanya.

Bali yang merupakan juruteknik di Kota Singa itu memberitahu, masa seminggu pulang ke tanah air akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya pulang hanya tujuh hari sahaja, sudah pasti saya akan habiskan masa dengan keluarga kerana sudah terlalu lama tidak bersua,” katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral hari ini.

Sementara itu, bagi Kelvin Rah Kunalan, 24, yang menjadi pengurus operasi salah sebuah syarikat berkata, kepulangannya tidak disambut keluarga kerana memberi kejutan kepada mereka di Masai.

Kelvin Rah Kunalan

Katanya, kebenaran rentas sempadan sudah pasti tidak akan dilepaskan memandangkan sudah enam bulan tidak dapat berjumpa dengan keluarga tercinta.

“Sebenarnya semua tidak tahu saya akan pulang hari ini, memang gembira dan sudah pasti saat ini dinantikan oleh semua kawan-kawan yang tidak dapat pulang ke Malaysia.

“Saya yang pertama mahu cari ialah nak cari nasi lemak,” katanya.

Seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Larkin Sentral di sini dari Singapura melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) kira-kira pukul 9.10 pagi.

Joanna Yap Siow Teng ( kanan) bersama rakannya San Cai Jing mengedarkan minuman percuma kepada pengembara Malaysia dari Singapura sambil memegang kad Selamat Datang ke Malaysia.

Kesemua pengembara tiba di terminal bas menaiki bas TranStar pada pukul disambut oleh Penasihat Menteri Besar Johor, Datuk Tee Siew Keong.

Ia adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia dan pengembara yang menggunakan VTL Darat yang menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rakyat Malaysia terkandas di Singapura akhirnya pulang