LEE HSIEN LOONG
Perdana Menteri Lee Hsien Loong

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini telahpun bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.

Lee berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mencadangkan perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula dan saya menjawab bahawa Singapura dan Malaysia telah mencapai persetujuan sebelum ini untuk menamatkan projek HSR, dan ini telah diselesaikan secara baik.

“Bagaimanapun, Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia mengenai projek HSR dan kementerian pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu. Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia agar kami boleh mengkajinya dan menimbangkan sekali lagi perkara itu,” katanya.

Lee berkata demikian pada sidang media bersama Ismail Sabri hari ini yang juga disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Sidang media bersama itu diadakan bersempena dengan pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jalan darat (VTL-Darat) di Singapura.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum  perjanjian projek itu luput pada 31 Dis, 2020.

Pada Mac tahun ini, Malaysia mengumumkan ia membayar SG$102.8 juta (SG$1=RM3.09) kepada Singapura bagi kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penangguhannya.

Sementara itu mengenai projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura, Lee berkata, pembinaan projek itu sedang berjalan dan kedua-dua negara berharap sistem itu dapat memulakan perkhidmatan penumpangnya menjelang akhir 2026.

Laluan RTS itu adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometer yang menghubungkan antara terminal stesen Woodlands North di Singapura dan terminal stesen Bukit Chagar di Johor Bahru Malaysia

Ia akan menyokong kapasiti kemuncak 10,000 penumpang sejam di kedua-dua arah. – Bernama