Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa, yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini.
Yamani Hafez Musa

KUALA LUMPUR – Belum ada lagi sebarang pelan tindakan untuk menyenarai hitam syarikat kredit yang ‘mengejar’ peminjam khususnya pengusaha bas sekolah yang tidak dapat membayar pinjaman disebabkan pandemik.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, ia disebabkan banyak perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Katanya, Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi yang telah diumumkan Perdana Menteri sebagai salah satu inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi membantu pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu) pada Januari 2021 sebagai salah satu inisiatif di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bagi membantu pengusaha bas dan teksi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Di bawah skim ini, pengusaha teksi dan bas termasuk bas persiaran, bas ekspres dan bas sekolah, boleh memohon untuk menstruktur semula pinjaman bagi pembelian bas dan teksi mereka dengan moratorium diberikan selama 12 bulan dan bayaran balik bulanan yang lebih rendah daripada syarikat-syarikat kredit sebagai pembiaya.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah menyediakan jaminan sehingga 50 peratus daripada jumlah had pembiayaan sebanyak RM1 bilion.

“Setakat ini, belum ada pelan tindakan untuk blacklist (senarai hitam) syarikat kredit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto (PH) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jenis bantuan geran, one-off atau pinjaman kepada pengusaha bas sekolah dalam tempoh Covid-19 dan pasca pandemik serta pelan tindakan untuk menyenarai hitam syarikat kredit yang menghantui mereka kerana tidak dapat membayar pinjaman disebabkan pandemik tersebut.

Bagaimanapun, Yamani Hafez berkata, kerajaan melalui kementeriannya sentiasa prihatin dengan beban dan kesukaran yang dihadapi pengusaha bas terutamanya bas sekolah susulan pandemik yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak hampir dua tahun lalu.

Ketika menjawab soalan tambahan Kasthuri sama ada kerajaan akan menyediakan skim pinjaman untuk pengusaha bas dan teksi dalam membantu mereka melangsaikan balik pinjaman, Yamani berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan mengenai cadangan memperluaskan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi kepada pengusaha bas dan teksi yang gagal mendapatkan skim bantuan tersebut.

Jumlah pembiayaan skim tersebut hanya digunakan sebanyak RM505 juta daripada RM1 bilion bersamaan 1,492 akaun peminjam yang telah digunakan, katanya.

“Ini bermaksud masih ada baki peruntukan sebanyak RM495 juta untuk dimanfaatkan oleh pengusaha bas dan teksi. Sehingga kini, hanya lapan syarikat kredit yang terlibat dalam skim berkenaan.

“Pada 17 November lepas, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan lagi skim rehabilitasi yang pada awalnya tamat pada 31 Disember 2021 dilanjutkan sehingga keseluruhan had jaminan pembiayaan habis digunakan,” katanya. – MalaysiaGazette