SEPANG – Pengumuman Menteri Sumber Manusia mengenai kira-kira 32, 000 tenaga buruh asing akan dibawa masuk untuk sektor perladangan ke negara ini didakwa mengelirukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jumlah itu sebenarnya secara realistik masih belum mencukupi.
“Ramai yang keliru di sini sebenarnya dan saya mahu jelaskan bahawa untuk pekerja perladangan masuk dari luar negara, secara realistiknya jumlah 32,000 yang dimaksudkan itu masih tidak cukup untuk sektor perladangan.
“Sektor perladangan sebenarnya memerlukan angka pekerja buruh yang lebih besar,” katanya katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Satelit ESD pengeluaran pelekat pas Imigresen kepada Ekspatriat di KLIA hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk M. Saravanan seperti dilaporkan dalam media semalam.
Sementara itu, Hamzah berkata, seramai 120,000 daripada 280,088 pekerja asing yang sudah mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) sejak 1 Januari lhingga 28 November lalu adalah untuk sektor perladangan di negara ini.
Namun angka itu tidak mencukupi dan mereka hanya menyumbang antara 20 hingga 30 peratus sahaja daripada keperluan sebenar tenaga kerja buruh asing yang diperlukan.
Menurutnya, pekerja asing berkenaan yang sudah berada di negara ini dan majikan lama mereka sudah bersiap sedia untuk mengambil mereka bekerja semula.
“Setakat ini, seramai 169,984 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah berdaftar dan seramai 144,522 orang membuat keputusan untuk pulang ke negara asal masing-masing.
“Menerusi angka yang berdaftar untuk pulang ke negara asal, Imigresen berjaya mengutip bayaran RM82 juta setakat 28 November lalu.
“Malah, seramai 24,155 orang telah berdaftar untuk pengusiran manakala seramai 280,088 orang telah berdaftar dengan portal imigresen tenaga kerja membuktikan mereka mahu kerja terus di dalam negara ini dan majikan asal mereka sudah dipanggil untuk menyelesaikan proses berkenaan dalam masa dua minggu lagi.
“Ia dibuat sebelum akhir tahun ini oleh kerana program rekalibrasi ini akan tamat pada 31 Disember 2021, saya mahu melihat semua pekerja asing yang berdaftar ini bekerja di dalam negara kita dengan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” ujarnya.
Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media mengenai masalah lambakan lebih 200,000 pekerja asing yang memohon untuk bekerja semula menerusi Program RTK dijangka selesai pada akhir tahun ini.
Beliau berkata, dalam perkara berkaitan, keutamaan diberikan kepada pekerja lengkap menerima vaksin selain bergantung permohonan majikan dalam sektor perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan. -MalaysiaGazette