Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika hadir ke majlis Malam Wartawan Malaysia 2021 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Media arus perdana mahupun media dalam talian digesa memainkan peranan mempromosikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ secara langsung kepada rakyat.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, media dan wartawan boleh terus memainkan peranan seperti yang telah dilakukan sekian lama, iaitu menyampaikan hasrat kerajaan kepada rakyat.

“Dalam situasi semasa, media dan wartawan boleh sama-sama menjayakan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Kewartawanan tradisional yang melalui proses pengesahan, penyuntingan yang ketat atau vigorous pastinya menghasilkan berita yang benar atau sahih dan sekali gus membolehkan rakyat memahami konsep sebenar Keluarga Malaysia atau dasar kerajaan yang lain,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Wartawan Malaysia 2021, di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau percaya rakyat negara ini masih menaruh keyakinan pada kredibiliti wartawan.

Tambah beliau, kewartawanan tradisional amat penting kerana sesetengah blog hanya untuk mensensasikan maklumat yang tidak tepat.

“Media yang yang menyajikan berita-berita yang profesional, adil, sahih, menarik dan terkini, akan berjaya,” katanya.

Konsep Keluarga Malaysia diilhamkan Ismail Sabri ketika berucap buat pertama kali sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 22 Ogos lalu.

Ismail Sabri berkata, konsep Keluarga Malaysia itu menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa (Keluarga Malaysia) itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Konsep itu menggariskan tiga teras utama iaitu iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Sebagai contoh, Ismail Sabri berkata, laporan yang dilaporkan media mengenai Covid-19 semata-mata bagi memastikan rakyat mendapat maklumat dan dapat mengikuti perkembangan semasa tanahair dan luar negara walaupun mereka terkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Wartawan adalah wira tidak didendang. Ketika negara dan dunia diserang Covid-19, para wartawan bertungkus lumus menyediakan maklumat berkaitan pandemik ini. Mereka sanggup mengharungi bahaya, termasuk merisikokan diri kerana terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Tanpa wartawan, mustahil berita-berita dan dan maklumat penting dapat disebar luas dengan cepat dan pantas termasuk sidang media Covid-19 yang dilaksanakan hampir setiap hari,” ujar Ismail lagi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional atau HAWANA.

“Kerajaan akan terus memberi sokongan kepada program-program yang sesuai untuk dilaksanakan,” kata Ismail Sabri.

Untuk rekod, HAWANA pertama kali diadakan pada 2018 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri ke enam, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette