KUALA LUMPUR – Final Piala Malaysia antara Kuala Lumpur City (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Ia akan menjadi penentuan juara kelab bola sepak di negara ini.
Ini kerana Liga Malaysia masih kekal memperoleh slot 1+2 daripada AFC iaitu satu kuota automatik bagi Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan dua slot untuk Piala AFC pada musim depan.
Bagaimanapun disebabkan oleh Covid-19 telah banyak merencatkan perancangan Liga Malaysia sehingga Piala FA terpaksa dibatalkan.
Justeru Malaysia Football League (MFL) telah memutuskan juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022
JDT yang dinobatkan sebagai juara Liga Super 2021 pada September lalu akan beraksi dalam saingan ACL 2022 manakala Kedah selaku naib juara Liga Super 2021 memperolehi tiket ke Piala AFC 2022.
Satu lagi slot Piala AFC 2022 bakal ditentukan malam ini sama ada KL City atau Penang yang berada di kedudukan ketiga dalam saingan Liga Super 2021.
Jika KL City tewas, Penang FC akan beraksi di pentas Asia pada musim depan.
MFL dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang TM Piala Malaysia merupakan juara atau naib juara Liga Super 2021.
“Jika pemenang TM Piala Malaysia adalah pasukan yang telah menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super 2021,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. – MalaysiaGazette