Abang Johari Tun Openg

BETONG – Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan kecil yang disasar membantu usaha menjana ekonomi negeri melalui eksport hasil pertanian, selain memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri melihat sebuah syarikat penerbangan kecil milik sendiri yang dilengkapi dengan pesawat yang tidak terlalu besar, memuatkan sekitar 100 hingga 200 penumpang untuk membawa masuk pelancong, diperlukan ketika ini.

“… jadi kita tidak (terlalu) bergantung kepada syarikat penerbangan (komersil) lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling, Spaoh di sini hari ini.

Katanya, operasi penerbangan itu juga akan tertumpu kepada hab yang strategik selain rancangan awal adalah bagi menyediakan khidmat penerbangan secara terus dari Sarawak ke Kuala Lumpur, Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong.

Merujuk kepada Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling yang dianggarkan menelan kos RM108.1 juta dan dijangka siap September 2023 itu Abang Johari berkata, operasinya dilihat berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di kawasan luar bandar

“Lapangan terbang ini penting sebagai pusat pengangkutan untuk menghantar hasil makanan dan produk makanan dari Betong, Spaoh dan kawasan berdekatan, selain lokasinya yang berdekatan dengan kawasan tarikan pelancongan Batang Ai,” tambahnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast