Ahmad Mustain Othman

SHAH ALAM – Sesi petang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini ‘digegarkan’ dengan desakan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meletakkan jawatan.

Beliau membuat desakan itu berikutan kegagalan Datuk Alexander Nanta Linggi mengawal harga barangan daripada naik mencanak sehingga melebihi 100 peratus terutama melibatkan input pertanian.

“Saya seru Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi supaya meletakkan jawatan kerana dia gagal mengawal harga barangan di negara ini.

“Saya ulangi, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi supaya meletakkan jawatan… Semua (ahli-ahli Dewan Undangan Negeri) setuju atau tidak? Semua setuju.

“Sungai Panjang (Datuk Mohd Imran Tamrin) tak setuju tak apa,” katanya pada sesi perbahasan Perbekalan 2022 di DUN Selangor, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Mustain, beliau datang ke persidangan DUN hari ini membawa mandat daripada petani, pesawah dan penternak di kawasannya, yang merasa keperitan akibat kebaikan input pertania.

Kata beliau, kenaikan harga racun, baja dan makanan ternakan melebih 100 peratus adalah fakta bukan auta.

“Sangat dahsyat kenaikan input pertanian ini… naik (sehingga) melebihi seratus peratus.

“Saya minta kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), hasilkanlah baja, racun dan makanan ternakan sendiri supaya dapat dijual kepada rakyat Selangor dengan harga yang murah,” ujarnya.

Terdahulu, beliau mengaitkan kenaikan harga itu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu perkataan yang sinonim dengan ‘barang naik’.

“Ada yang nak menafikan? Bila saja BN mentadbir kerajaan Persekutuan, barang mesti naik. Buktinya sudah ada… ayam naik, sayur naik, semua naik. Ini fakta, bukan auta,” katanya.

Mohd Imran mencelah mengatakan barang naik ini bermula ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan menukar sistem GST kepada SST.

Ketika itu, katanya, harga barang sudah mula naik dan barang terus naik bukan kenaikan disebabkan BN memerintah.

“YB Sabak kena perbetulkan fakta itu. Jangan nak kata (tuduh) barang naik ini kerana BN, barang naik ini kerana kelemahan kerajaan PH yang mentadbir sebelum selepas BN kalah pada PRU14,” tegas Imran.- MalaysiaGazette