Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen 2021 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mensasarkan hasil sebanyak RM3.5 billion hasil pada tahun 2022.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud yakin, sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan pencapaian rekod kutipan hasil sebelum pandemik berlaku pada 2019 sebanyak RM4.57 billion.

Jelas beliau, sasaran ini sebagai inisiatif JIM untuk membantu kerajaan mencapai Agenda Pemulihan Ekonomi.

“Saya dan barisan pengurusan JIM telah membuat penjajaran semula fokus dan hala tuju bagi tahun 2022.

“Di samping melaksanakan tugas penguatkuasaan Akta Imigresen, JIM akan memberi tumpuan kepada peningkatan hasil dan penjimatan.

“Bagaimanapun, jumlah ini berkurangan disebabkan kesan pandemik, kepada RM2.42 billion pada tahun 2020. Pada tahun ini, sehingga 15 November, jumlah hasil yang berjaya disumbangkan ialah sebanyak RM2.15 billion,” katanya ketika berucap di Sambutan Hari Imigresen 2021.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Ujarnya, penyumbang terbesar kepada kutipan hasil ini daripada levi pekerja asing, bayaran-bayaran proses, kutipan kompaun dan pembaharuan pasport.

Menurut Khairul, sasaran tersebut merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai kanan JIM.

Katanya, kerjasama dan komitmen warga JIM secara menyeluruh akan mendorong kepada pencapaian sasaran berkenaan.

“Yang saya sebutkan ini bukanlah satu KPI yang telah ditetapkan dalam perancangan strategik kementerian. Tapi yang saya tetapkan sendiri.

”Dalam mencapai sasaran ini, sudah tentu usaha berbentuk penyatuan dari seluruh warga JIM di semua peringkat dan sokongan berterusan daripada pengurusan kementerian adalah diperlukan,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Imigresen rugi besar kecualikan cukai residency/visa kepada baka migran yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris.

Comments are closed.