Infografik IKRM 2020

KUALA LUMPUR – Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2020 menurun 2.1 peratus kepada 118.3 mata berbanding 120.8 mata pada 2019.

Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan penurunan 3.4 peratus pada 2020 kepada 126.2 mata dan subkomposit kesejahteraan sosial pula menurun 1.2 peratus kepada 114.0 mata pada tempoh yang sama.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pandemik Covid-19 memberikan cabaran kepada kesejahteraan rakyat.

Berdasarkan keseluruhan 14 komponen IKRM, didapati tujuh daripadanya merekodkan penurunan pada 2020.

Tiga komponen merekodkan paling tinggi penurunan ialah komponen Indeks Kebudayaan (-16.1%), Indeks Hiburan & Rekreasi (-15.7%) dan Indeks Pendapatan & Pengagihan (-9.7%).

Pelaksanaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti sosial dan larangan merentas negeri dan daerah serta penutupan pusat hiburan dan rekreasi telah menyebabkan penurunan ketara bagi ketiga-tiga komponen ini.

Melihat kepada dapatan mengikut indeks subkomposit pula, bagi indeks subkomposit ekonomi, didapati komponen pendapatan & pengagihan menurun 9.7 peratus, diikuti pengangkutan (-7.4%) dan komunikasi (-0.4%).

Pada masa yang sama, kesemua komponen dalam indeks subkomposit sosial pula turut menurun.

Komponen kebudayaan menurun 16.1 peratus diikuti hiburan & rekreasi (-15.7%), tadbir urus (-0.9%) dan keluarga (-0.4%). Namun begitu, komponen keselamatan awam meningkat 10.9 peratus, diikuti kesihatan (5.6%) dan alam sekitar (2.7%).

”Pada masa yang sama, langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 turut memberi implikasi positif kepada
kesejahteraan rakyat.

”Antaranya, Indeks Keselamatan Awam yang mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 10.9 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya disumbangkan oleh penurunan kadar jenayah dan bilangan kemalangan jalan raya pada 2020.

”Ini diikuti Indeks Kesihatan meningkat 5.6 peratus yang menunjukkan penjagaan kesihatan terus menjadi fokus dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat terutama apabila negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Indeks Penyertaan Sosial juga meningkat 2.5 peratus pada 2020 susulan penyertaan aktif sukarelawan dalam menawarkan bantuan terutama kepada mereka yang terjejas akibat PKP.

Secara keseluruhan prestasi IKRM pada 2020 menunjukkan kesejahteraan rakyat sangat terkesan akibat pandemik COVID-19. MyWI berfungsi sebagai penunjuk kesejahteraan rakyat dan panduan dalam penggubalan dasar dan program yang relevan. – MalaysiaGazette