KUALA LUMPUR – Menyedari keadaan harga barang semakin tidak menentu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam usaha agar perkara ini dibawa segera ke Parlimen.
Beliau berkata, mekanisme kawalan harga barang sekarang begitu lembap.
“Ia tidak selari dengan hasrat kerajaan kononnya untuk mengawal dengan segera.
“Mendengar dan bertukar pendapat dengan para peniaga terutamanya soal harga barang meningkat dan kos pemasaran yang mendadak naik,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil membuat tinjauan ke Kg Kerinchi di Parlimen Lembah Pantai bagi meninjau pasar pagi dan bertemu dengan peniaga.
Harga barang seperti sayur, ayam, telur dan barang keperluan lain dilihat semakin naik sejak beberapa minggu ini.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam berkata, kesediaan untuk mengambil tanggungjawab jika harga barang di pasaran tidak dapat distabilkan pada 9 Disember ini.
Menurutnya, apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang agak kompleks dan memerlukan penelitian daripada pelbagai sudut. – MalaysiaGazette