M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Penamatan kontrak oleh syarikat Dyson Ltd dari United Kingdom dengan syarikat tempatan iaitu ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATA) adalah atas persetujuan bersama kedua-dua syarikat.

Ia berikutan berlakunya kekurangan tenaga kerja oleh ATA dalam memenuhi permintaan pembekalan produk, komponen dan perkakasan oleh Dyson Ltd, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

“Saya telah mengarahkan kementeriannya untuk menjalankan siasatan dengan lebih lanjut lanjut dan setakat ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap syarikat ATA berkaitan isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas laporan tentang penamatan kontrak oleh Dyson ke atas ATA susulan hasil dapatan audit berhubung amalan buruh paksa.

Jelasnya, dalam usaha mengekang gejala buruh paksa ini, kementerian itu juga telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa 2021-2025 pada 26 November 2021 yang merangkumi empat matlamat strategik dari aspek kesedaran, penguatkuasaan, migrasi buruh dan akses kepada pemulihan dan perlindungan kepada mangsa.

Pelan Tindakan ini merupakan panduan kepada pelaksanaan program dan aktiviti bagi membasmi gejala buruh paksa secara menyeluruh menjelang tahun 2030 selaras dengan komitmen negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 8 berhubung Decent Work.

”Secara keseluruhannya, isu buruh paksa yang dikaitkan dengan syarikat tempatan dalam sektor pembuatan elektronik dan sarung tangan getah, serta sektor perladangan kelapa sawit telah memberi imej yang negatif kepada negara dan ini mempengaruhi keyakinan pelabur asing terhadap pembekalan produk dari Malaysia.

”Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak terutamanya majikan dan pihak industri agar melaksanakan kajian kewajaran dalam aspek hak dan kebajikan pekerja bagi memastikan Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan amalan buruh paksa,” ujarnya. – MalaysiaGazette