Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad beramah mesra bersama ketua-ketua eksekutif pada Majlis Pertemuan Rasmi JAKIM Bersama Ketua Eksekutif GLC Malaysia di Hotel Pulse Grande, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 2 DECEMBER 2021.

PUTRAJAYA – ‘Saya tidak mahu orang miskin datang berjumpa kita, sebaliknya kita yang perlu cari mereka’, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Beliau dalam masa sama mengingatkan kepada semua ketua dan warga agensi hal ehwal Islam di negara ini supaya turun padang untuk mencari golongan asnaf dan orang-orang miskin.

Ini kerana menurutnya, golongan berkenaan tidak seharusnya datang ke mana-mana pejabat untuk meminta bantuan.

“Orang miskin ini mereka kais pagi makan pagi, mereka memerlukan wang untuk (mengisi) petrol dan tambang untuk berjumpa dengan kita, jadi kita yang mesti pergi cari dia, santuni dia.

“Segala maklumat kita boleh dapat melalui e-Kasih, penghulu, masjid atau Baitulmal semuanya ada. Kalau tidak berdosa,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Tahun 2021 di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Dalam pada itu, Idris berkata, kementeriannya ketika ini hampir menyelesaikan keseluruhan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Idris mula memegang portfolio sebagai menteri agama bermula 1 September lalu.

“Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, sehingga 9 Disember ini, ada sebanyak 208 program yang bersifat ‘programme oriented’.

“Bukan setakat itu, dalam tempoh berkenaan juga kita telah meletakkan KPI untuk membantu seramai 700 usahawan dalam kalangan asnaf.

“Namun jumlah sebenar permohonan adalah 1,000 orang usahawan dengan pemberian modal perniagaan sebanyak RM3,000 menerusi program Musa’adah Tijariyah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM3 juta,” ujarnya. – MalaysiaGazette