KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan negara, Johan Dion Cools yang melapor diri lewat dalam skuad kebangsaan bakal terlepas beberapa perlawanan awal dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura.
Perkara itu disahkan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi setelah Midtjylland FC hanya membenarkan Dion ke Singapura selepas aksi suku akhir Piala Danish pada 13 Disember.
Susulan itu, Dion dijangka dapat beraksi bersama kem Harimau Malaya pada aksi terakhir kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember ini.
Sementara itu, ketiadaan Dion pada babak perlawanan awal membuatkan segelintir penyokong menagih aksi penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula yang terkenal dengan kelajuannya agar dapat merembat jaringan.
Gandingan De Paula bersama Shahrel Fikri dan Luqman Hakim di bahagian serangan diharapkandapat menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan jadual Kumpulan B nanti.
Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe akan membuka tirai aksi menentang Kemboja pada 6 Disember, Laos (9 Disember), Vietnam (12 Disember) dan Indonesia (19 Disember) bagi memburu dua tempat teratas ke separuh akhir – MalaysiaGazette