Gelagat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali semasa hadir pada Majlis Pelancaran Buku Speaking of Mass Destruction...A Journey to Iraq seen by Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan dinasihatkan agar tidak meneruskan rancangan untuk mengimport barangan keperluan rakyat daripada negara lain.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu tidak akan mengurangkan kos dan kerajaan perlu mencari kaedah lain bagi membantu rakyat.

“Harga barang naik ada sebabnya tapi apabila kita ada satu kerajaan yang tidak ada idea sama sekali.

“Kerajaan hari ini tidak ada ilmu pengetahuan untuk tangani masalah, itulah satu sebab ada kenaikan harga,” katanya kepada media selepas melancarkan buku Speaking of Mass Destruction…A journey to Iraq as seen by Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu berkata, kerajaan tidak sepatutnya membelanjakan wang di saat negara tidak mempunyai peruntukan.

Menurut Dr. Mahathir, ia jelas mencerminkan negara tidak mengambil kira akan kesusahan rakyat tatkala negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19.

“Apabila kita dapati kerajaan menggunakan wang untuk itu ini diwaktu negara tidak ada wang. Ini bermakna kerajaan tidak ambil kira kesusahan rakyat cuma nak bagi hadiah kepada kawan-kawan yang menyokong mereka. Sama ada mereka boleh buat atau tidak itu tidak penting, yang penting kamu sokong kami, kami bagi duit,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport ayam sejuk beku dari luar negara untuk menambah kuantiti ayam dalam pasaran.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membawa masuk 200 kontena ayam sejuk beku mulai minggu depan.

Malah beliau telah mengarahkan MAFI untuk menghentikan sementara eksport ikan bagi mengawal kenaikan harga makanan laut itu.

Jelasnya, ini merupakan tindakan sementara kerana kenaikan harga ikan ketika ini adalah disebabkan bekalan terjejas akibat musim tengkujuh. – MalaysiaGazette