KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang bertegas tidak membenarkan kemasukan atlet skuasy dari Israel untuk menyertai Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia lelaki perlu disokong semua pihak.
Ini kerana Malaysia perlu konsisten dengan dasarnya untuk tidak membenarkan rakyat dari negara zionis yang tidak diiktiraf sebagai negara yang sah itu masuk ke negara ini, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Kami berpendirian prinsip keadilan dan menolak Israel sebagai negara apartheid dan negara penjajah harus dikekalkan.
“Menolak Israel harus dilakukan dalam semua bidang termasuk sukan…Malaysia perlu bertegas menolak sebarang kerjasama dengan Israel dalam apa bidang sekalipun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi berkata, Israel telah terbentuk sebagai sebuah negara atas pendudukkan di bumi Palestin secara paksa dan telah memangsakan jutaan rakyat negara itu.
Ujarnya, menekan Malaysia supaya menerima Israel harus ditentang dengan tegas kerana keputusan itu menjadi bukti pendirian Malaysia tidak berkompromi.
Tambah beliau, Malaysia tidak harus berkompromi dalam soal ini kerana penindasan ke atas rakyat Palestin sudah berlarutan sehingga 74 tahun.
“Dunia harus menghormati hak Malaysia untuk menolak sebarang kerjasama dengan Israel.
“Malaysia tidak harus tunduk kepada tekanan Israel dan sekutunya termasuk dari kuasa besar yang terus menyokong kezaliman zionis Israel ke atas Palestin,” tegasnya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dipetik berkata, Malaysia tidak melakukan sebarang diskriminasi terhadap atlet daripada Israel dalam isu penolakan pemberian visa kepada pemain skuasy dari negara itu.
Katanya, seperti sedia maklum Malaysia tiada hubungan diplomatik dengan Israel.
Jelasnya, ketika persekutuan antarabangsa meletakkan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan antarabangsa sepatutnya mereka sedia maklum bahawa Malaysia tidak membenarkan atlet dari Israel untuk mengambil bahagian. – MalaysiaGazette