Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengembara yang membuat saringan COVID-19 di Langkawi pada hari ketibaan di pulau itu melalui Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi dibenarkan tinggal di hotel sementara menunggu keputusan ujian bagi mengelakkan perhimpunan ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka juga akan menerima perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) secara digital dalam aplikasi MySejahtera.

“Selain perlu menjalankan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT-PCR sekurang-kurangnya 72 jam sebelum bertolak ke Malaysia dan pada hari ketibaan, pengembara di Langkawi ini juga perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan ujian jenis RTK-Ag pada hari ketiga dan hari kelima selepas ketibaan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media pagi tadi mengumumkan pengembara selain dari lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dibenarkan menyertai Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Sekatan perjalanan sementara pengembara dari lapan negara itu membabitkan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi diteruskan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pengembara dari negara selain daripada lapan negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara adalah dibenarkan memasuki Malaysia untuk melancong ke negeri-negeri selain Langkawi dengan perlu mematuhi kuarantin wajib.

Beliau berkata tempoh kuarantin wajib adalah tujuh hari untuk individu lengkap vaksin dan 10 hari sekiranya tidak menerima vaksin lengkap atau tidak menerima vaksin serta tempat kuarantin mengikut kelulusan yang diberikan oleh Home Quarantine Application (HQA), sama ada di rumah, tempat kediaman atau stesen kuarantin.

“Pengembara yang tidak diluluskan untuk menjalani kuarantin di rumah, tempat kediaman perlu membuat tempahan bilik di hotel yang dikenal pasti sebagai stesen kuarantin melalui MyTravelSafe di pautan https://safetravel.myeg.com.my/,” katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata mereka yang datang dari negara berisiko tinggi dan menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman akan dipakaikan peranti pengesan digital.

Katanya, negara berisiko tinggi ini akan dimaklumkan oleh pihak kementerian berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dari semasa ke semasa dan senarai akan diberikan kepada Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) berkaitan tindakan lanjut.

“Selain itu, keperluan menjalani ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RT-PCR semasa ketibaan dan pada hari kelima sekiranya kuarantin selama tujuh hari atau pada hari kelapan sekiranya kuarantin selama 10 hari.

Penilaian risiko pula akan dilakukan ke atas pengembara pada hari ketujuh atau hari ke-10 sebelum pelepasan kuarantin,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dengan pengisytiharan ini, maka kenyataan-kenyataan yang diumumkan sebelum ini adalah terbatal. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast