Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Impian seorang penganggur baru-baru ini bagi mendapatkan pekerjaan dalam atas talian akhirnya berkecai apabila mengalami kerugian sebanyak RM21,280.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa didakwa diperdaya oleh seorang suspek yang menawarkannya peluang pekerjaan platform jualan online terkenal dengan komisen 20 peratus bagi setiap tempahan daripada pelanggan.

“Kes penawaran pekerjaan separuh masa menjadi ikutan sejak kebelakangan ini di mana mangsa hanya mendapat untung secupak namun rugi segantang.

“Pengadu melayari iklan  di laman media sosial tentang kerja separuh masa dan telah berurusan dengan seorang wanita melalui Whatsapp.

“Mangsa menyatakan berminat untuk melakukan pekerjaan yang ditawarkan di mana tugasannya hanya perlu menangkap layar barang dan hantar kepada suspek  tersebut melalui WhatsApp.

“Mangsa juga dan perlu buat pembayaran pendahuluan dan akan mendapat semula wang serta komisen sebanyak 20 peratus seperti dijanjikan wanita berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Ramli, pada mulanya mangsa berusia 22 tahun telah diberikan keuntungan dengan membuat pembayaran sebanyak RM30 dan mendapat keuntungan sebanyak RM33.

Pengadu seterusnya telah membuat pembayaran pendahuluan beberapa kali sehingga RM21,280 ke dalam dua akaun yang berbeza dan dijanjikan akan mendapat pulangan semula wang pendahuluan  serta komisen.

Namun setiap tugasan yang dilaksanakan perlu dimasukkan dengan wang pendahuluan  tetapi sehingga kini pengadu tidak medapat pulangan serta keuntungan seperti dijanjikan.

“Apabila menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke balai untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

“Masyarakat diingatkan supaya berhati-hati dengan pengiklanan tawaran kerja yang tidak wujud sehingga merugikan diri sendiri,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette