KUALA LUMPUR – Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menyifatkan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta guru-guru melakukan saringan Covid-19 ke atas murid-murid di sekolah adalah melampau.
Ini kerana, arahan berkenaan seolah-olah mengenepikan keselamatan guru-guru dan murid-murid.
Pengerusi Perdim Selangor, Dr Norzaidi Zakaria berkata, sebelum ini pegawai perubatan am yang hendak melakukan ujian saringan Covid-19 telah diarahkan mengambil pelbagai kursus bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan dengan betul.
Bahkan, jika ada individu yang disaring positif, klinik terpaksa ditutup jika para petugasnya tidak memakai pakaian keselamatan yang lengkap.
“Tiba-tiba KPM dengan sewenang-wenangnya memberi arahan mudah kepada guru untuk membuat saringan Covid-19 ke atas murid-murid,” katanya ketika menghubungi MalaysiaGazette.
Menjelaskan ujian saringan kendiri, Dr Norzaidi menjelaskan, ujian itu perlu dilakukan sendiri tanpa membabitkan orang lain.
“Sebab itu, alat ujian itu disebut alat kendiri,” tambahnya.
Sambil melahirkan kebimbangan, beliau berkata, cuba KPM bayangkan jika ada seorang murid yang positif di sekolah positif ketika ujian sedang dilakukan.
Tidakkah seluruh murid, guru-guru yang berada di situ akan dikira kontak rapat dan wajib kurantin, soal beliau lagi.
Oleh itu, beliau mencadangkan KPM menggunakan cara lama iaitu memanggil pegawai kesihatan melakukan ujian keselamatan kerana mereka ini sudah arif dengan SOP.
“Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPM mengambil langkah yang betul dan bukan sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja,” ujarnya.
Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga idak bersetuju apabila guru diminta menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas murid sekolah rendah yang akan diadakan setiap hari.
Setiausaha Agungnya Wang Heng Suan berkata, pihaknya menerima rungutan daripada guru yang khuatir akan mendatangkan bahaya dan risiko yang tinggi.
Weng berkata, ini kerana guru tidak diberi sebarang perlindungan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), sarung tangan, “face shield” dan lain-lain.
Beliau berkata, NUTP mencadangkan agar ujian saringan itu dilakukan oleh ibu bapa pelajar di kediaman mereka masing-masing, dengan dimaklumkan sehari sebelum dan dibekalkan kit ujian kendiri. – MalaysiaGazette