Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia menyaksikan hampir satu juta perbualan berkaitan percutian menerusi Twitter tahun lalu dan perbualan tersebut bermula sekitar Oktober, dua bulan lebih awal daripada musim percutian sebenar.

Pengarah Penyelidikan Asia Pasifik dan Eksport Global Twitter Martyn U’ren berkata, berdasarkan kajian Twitter Asia Tenggara, faktor mencetuskan perbualan itu adalah tawaran promosi akhir tahun daripada pelbagai jenama, penerbitan media bertemakan Krismas melibatkan selebriti dan saluran televisyen serta jangkaan tahun depan.

“Semangat musim percutian tidak pernah redup di Twitter, bahkan perbualan tersebut semakin banyak dan meriah.

“Ini adalah cara untuk orang ramai merancang apa yang mereka perlukan untuk membeli atau melakukan pelbagai persiapan sepanjang musim percutian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, U’ren berkata, kajian juga mendapati lebih 8 juta perbualan berkaitan percutian dan membeli-belah berlangsung di Twitter menjelang musim percutian hujung tahun ini di seluruh Asia Tenggara.

Menurut U’ren, perbualan merangkumi pelbagai topik daripada ulasan pelanggan, soalan tentang pembelian barang dan Tweet lain yang menunjukkan kenapa Twitter menjadi tempat sesuai untuk orang ramai dan jenama mengetahui serta menyertai #WhatsHappening sekitar musim percutian.

Beliau berkata, walaupun perintah kawalan pergerakan telah dilonggarkan, rakyat Malaysia masih memilih untuk berbelanja secara dalam talian dan ramai yang menggunakan Twitter bagi mencari inspirasi.

“Di Malaysia perbualan mengenai membeli-belah dan aktiviti akhir tahun menerusi Twitter bermula pada Oktober, berterusan sepanjang sambutan Krismas dan tahun baharu sehingga Tahun Baharu Cina pada Februari.

“Jenama-jenama boleh menggunakan maklumat Twitter dalam merancang kempen lebih awal dan untuk berhubung dengan orang ramai yang mereka sasarkan,” kata U’ren. – Bernama