Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) antara rumah ibadat Islam dengan sektor lain ternyata ada perbezaan ketara.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mempersoal yang  SOP solat berjemaah yang masih tidak dibenarkan untuk merapatkan saf berkata: “Saya nak bertanya pakar-pakar jangkitan Covid di KKM, virus Covid-19 ni mai (datang) masjid je ke?.

“Kenapa virus minat sangat dengan masjid dan tidak berminat dengan tempat lain?” soalnya menerusi laman Facebook baru-baru ini.

Menurut Dr. Mohd Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Maza, pelbagai alasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) membuatkan beliau musykil terhadap layanan SOP yang berbeza ini.

“Setiap kali berbincang dengan KKM pasal nak rapat saf di masjid, terus segala kebimbangan pasal jangkitan Covid-19, varian baru, pengudaraan masjid, jumlah jemaah dan lain-lain dibangkitkan.

“Tapi bila tengok kenderaan awam, bas, kapal terbang, begitu juga di stadium, pasar raya dan lain-lain tidaklah pula nampak kebimbangan tersebut,” katanya.

Tambah Dr. Maza, KKM seharusnya membuat penilaian semula berkenaan SOP di masjid dengan memberi layanan yang sama.

“Cadangan saya, seperti tempat lain, elok KKM menilai masjid dengan layanan yang sama!.” – MalaysiaGazette