Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Melaka merekodkan tiga kluster baharu termasuk satu kluster berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan 41 orang positif selepas 20 November lalu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kluster berkenaan dikenali Kluster Pulau Gadong berpunca daripada tenaga pengajar di sebuah pusat tahfiz yang menjadi jentera kempen PRN Melaka.

Manakala dua lagi kluster selepas 20 November adalah Kluster Industri Batu 16 1/2 Air Tawar di Jasin dan Kluster KM12 Paya Rumput di Melaka Tengah masing-masing merekodkan kes positif 64 dan 39 orang.

“Hanya satu kluster iaitu Kluster Pulau Gadong dikaitkan dengan PRN apabila daripada 185 yang disaring, 41 disahkan positif melibatkan pelajar, guru dan kakitangan dua pusat tahfiz.

“Kes indeks bermula apabila pada 21 November apabila guru berkenaan mempunyai simptom telah mengajar di dua buah pusat tahfiz berkenaan pada 22 dan 23 November sebelum beliau disahkan positif pada saringan dibuat pada 25 November.

“Hasil saringan terhadap 185 individu termasuk kontak rapat indeks, 41 orang disahkan positif membabitkan 33 pelajar berusia bawah 19 tahun dan bakinya guru serta pekerja di kedua-dua madrasah berkenaan,” katanya pada sidang media di Japerun Merlimau, Lipat Kajang di sini hari ini.

Menurut beliau, semua mereka yang positif telah dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.

Dr Akmal berkata, kedua-dua madrasah itu juga ditutup sehingga 17 dan 18 Disember ini di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Secara keseluruhannya, kes positif Covid-19 selepas PRN Melaka berjaya dikawal dengan kadar jangkitan yang lebih rendah iaitu 4.6 peratus berbanding 70 peratus pada PRN Sabah yang lalu,.

“Ini juga menunjukkan, rakyat tidak perlu bimbang kerana dengan persediaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kita boleh menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dengan baik,” katanya.- MalaysiaGazette