SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu, kerajaan Selangor berdepan dengan masalah tidak dibenarkan masuk ke sekolah untuk tujuan memberi kesedaran kepada pelajar berhubung kesalahan terlibat dengan judi.
Justeru, sebagai langkah itu, kerajaan negeri terpaksa menggunakan khidmat persatuan dan pertubuhan belia untuk membantu memberi penerangan mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang itu kepada kalangan generasi muda.
Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, mengikut rekod, ada empat kes tangkapan melibatkan pelajar terlibat dalam aktiviti judi secara fizikal sepanjang tahun lalu.
“Masalah besar kita sekarang adalah aktiviti judi sekarang ini beralih secara atas talian dan bagaimana kita hendak memantaunya adalah satu cabaran bagi kerajaan negeri
“Dengan sebab itulah, apabila judi ini dilakukan secara atas talian, satu-satunya cara untuk kerajaan campur tangan adalah melalui kesedaran di sekolah.
“Persoalannya di sekolah mana? Nak masuk ke sekolah kebangsaan, kita tak dibenarkan. Jadi, satu-satnya sekolah yang kita boleh masuk adalah melalui sekolah agama,” katanya menjawab soalan Ahmad Mustain Othman (PKR-Sabak) di sidang DUN di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khairuddin, selain menggunakan persatuan atau pertubuhan belia, kegiatan judi melibatkan pelajar ini di bawah bidang kuasa polis bagi kes premis judi ataupun lesen judi yang diberikan di premis berkenaan. – MalaysiaGazette